Selamat datang ke blog saya..maaf ye kalau blog ini memang belum sempurna. maklum la baru nak belajar berjinak2 dengan dunia blogs..harap korang enjoy dan jangan lupa be my follower..i will follow you..
Monday 11 July 2011
Pengesanan Awal Barah Payudara Menyelamatkan Nyawa
Sejauh manakah keintiman anda dengan mahkota kewanitaan anda, payudara? Andai ditanya
bilakah kali terakhir anda melakukan pemeriksaan sendiri payudara (BSE - breast self
examination), agaknya, apakah jawapan anda? Lupa kerana sudah lama tidak melakukannya atau
sememangnya anda tidak pernah ambil peduli?
Kajian mendapati, 2 daripada 3 wanita Malaysia tidak melakukan BSE walaupun menyedari
kanser payudara adalah pembunuh nombor satu wanita. Antara alasan popular yang seringkali disuarakan adalah kurang yakin, tidak tahu apa perlu dicari, takut menemui sesuatu tidak normal dan tidak kurang juga yang kurang selesa menyentuh payudara sendiri.
Menurut Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, satu daripada 19 wanita tempatan mempunyai
kebarangkalian menghidap kanser payudara. Ia paling biasa menyerang kaum Cina (1:14 wanita)
diikuti India (1:15) dan Melayu (1:24). Sekalipun nisbah wanita Melayu yang paling kecil,
ironinya, sering kali mereka adalah yang paling lambat didiagnosis. Antara 40 hingga 60
peratus pesakit yang datang berjumpa doktor telahpun melewati tahap 3 atau 4, di mana tidak
banyak boleh dilakukan. Semakin lewat kanser dikesan, semakin tipis peluang pesakit untuk
sembuh.
Pengesanan Awal
Sebaik mencapai usia 20 tahun, setiap wanita terdedah dengan musuh utama ini. Anak gadis
yang mencecah usia berkenaan amat digalakkan memulakan BSE setiap bulan terutamanya bagi
yang mempunyai sejarah keluarga dengan kanser payudara. Risikonya juga semakin meningkat
dengan peningkatan usia. Malah, kadar kejadian dikatakan terus meningkat dengan mendadak
dari tahun ke tahun akibat gaya hidup moden.
Punca khusus kanser ini masih samar tetapi beberapa kaitan genetik dan persekitaran telah
dikenalpasti. Memandangkan tiada penawar dan rawatan sedia ada belum berkesan 100%, yang
ada cuma kata-kata keramat 'pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa'.
Berbanding kanser-kanser lain, kanser payudara adalah antara yang paling mudah dikesan.
Sekalipun pemeriksaan payudara klinikal dan mamografi diiktiraf sebagai standard emas dalam
penyaringan kanser payudara, BSE kekal sebagai langkah perlindungan utama dalam regim
pencegahan kanser payudara.
Pakar perubatan turut mengakui kebanyakan kes kanser payudara mula dikesan pesakit sendiri
atau pasangan mereka melalui BSE rutin di rumah. Menurut Persatuan Kanser Amerika, pesakit
mempunyai 95% kebarangkalian hidup 5 tahun akan datang sekiranya kanser payudara berjaya
dikesan awal dan masih berada di sekitar payudara.
Pentingnya BSE
Apa yang ingin ditekankan di sini adalah tentang konsep kesedaran payudara iaitu bagaimana
untuk menjadi akrab dan mesra dengan keadaan serta kesihatan payudara sendiri. BSE
memberikan sumbangan besar dalam membantu wanita menjalinkan hubungan rapat ini supaya
mereka mengenali rupa bentuk dan rasa payudara apabila disentuh. Permulaan BSE sendiri
setiap bulan pada peringkat awalnya bukan hanya bertujuan mencari ketulan tetapi lebih
utama untuk mengenal bentuk, saiz serta tekstur normalnya.
Mengetahui apa yang normal (dan tidak normal) pada payudara anda umpama menekan suis antara kematian dan kehidupan. Jika anda kenal dan arif dengannya, bukan satu masalah bagi anda untuk mengesan sebarang perbezaan yang tidak ketara, tetapi mungkin serius.
Perubahan-perubahan yang berlaku mungkin boleh dilihat dengan mata kasar atau mungkin hanya jelas selepas beberapa bulan. Ia mungkin satu tanda awal kepada sesuatu yang lain di bawah permukaan payudara.
Sekiranya anda telah biasa dengan rupa bentuk dan rasa sentuhan payudara sendiri, secara
automatik mudah untuk mengetahui jika ada sesuatu yang tidak kena. Tanpa memori sentuhan
daripada BSE berterusan setiap bulan, anda mungkin tidak akan perasan akan perbezaan kecil
di peringkat awal. Sebarang perubahan hendaklah dibawa kepada perhatian doktor dengan
segera.
Tanda-tanda yang perlu anda perhatikan :
- benjolan di payudara atau ketiak- perubahan luarbiasa tekstur, bentuk dan saiz payudara- kulit payudara bengkak, berkedut dan ke dalam- puting susu tenggelam- pendarahan atau lelehan luarbiasa dari puting- kulit payudara berbintik seperti kulit limau
Usah takut dan panik sekiranya anda terjumpa ketulan kerana 9 daripada 10 benjolan yang
ditemui tidak semestinya kanser. Sesetengah wanita berkecenderungan secara genetiknya untuk
mewarisi benjolan pada payudara. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua
gumpalan dalam payudara kerana kemungkinan kanser tetap ada dan hanya doktor yang boleh
mengesahkannya.
Harus diingat bahawa BSE tidak boleh menggantikan pemeriksaan payudara klinikal tahunan
(apabila mencecah usia 30-an) dan penyaringan mamogram berkala (apabila mencapai umur
40-an), bergantung kepada individu dan sejarah keluarga. Walaupun pemeriksaan fizikal oleh
doktor mahupun mamografi dapat memastikan kesihatan payudara anda, BSE tetap penting bagi
mengesan perubahan awal sebelum pemeriksaan doktor yang berikutnya.
Anda sepatutnya memeriksa payudara sendiri sekali setiap bulan, dalam tempoh 3 hari selepas
haid berakhir ataupun 7 hingga 10 hari selepas bermulanya haid, iaitu tempoh payudara
paling kurang bengkak dan sakit. Jika anda telah menopaus, kedatangan haid tidak tetap atau
telah menjalani pembedahan histerektomi (membuang rahim), periksalah payudara anda
seelok-eloknya pada hari yang sama setiap bulan. Golongan lelaki juga tidak terkecuali
kerana mereka juga berisiko menghidap kanser payudara.
Terdapat pelbagai teknik pemeriksaan payudara sama ada bajian (pasakan atau wedge), pusingan (bulatan) atau urutan menegak. Pilihlah kaedah yang dirasakan sesuai untuk anda dan guna kaedah yang sama setiap kali.
Kini, ada cara yang lebih mudah dan meyakinkan untuk melakukan BSE mengikut keselesaan di rumah. Pad BSE bukan sahaja untuk menggalakkan lebih ramai wanita memeriksa payudara sendiri secara berkala, malahan dapat memudahkan BSE bulanan mengesan sebarang perubahan dari peringkat awal lagi.
Produk yang mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) ini direka khusus untuk meningkatkan deria sentuhan jari anda ketika melakukan BSE. Ia terdiri daripada dua lapisan plastik poliuretana bebas lateks yang lembut dan tipis, berukuran kira-kira 20 sentimeter garis pusat dan diisikan dengan sejenis pelincir di dalamnya. Cecair khusus ini berperanan mengurangkan geseran di antara jari dan payudara sekaligus meningkatkan kepekaan deria sentuhan dengan ketara.
Lekapkan pad BSE ke atas payudara anda, kemudian tekan permukaan pad berkenaan menggunakan jari mengikut kaedah urutan BSE seperti biasa. Lapisan atas pad BSE akan bergerak dengan lancar di atas lapisan bawahnya yang melekap lembut pada kulit. Sekiranya terdapat sebarang gumpalan atau perubahan dalam tisu payudara, ia akan berasa seolah-olah timbul di permukaan.
Pad BSE boleh diguna semula pada setiap bulan bersama panduan langkah demi langkah yang direka khusus oleh pakar bedah am serta pakar bedah kanser payudara.
Kenali payudara anda dengan lebih intim. Ingat! Kanser payudara boleh dirawat jika dikesan awal dan dirawat secepat mungkin. Meluangkan beberapa minit untuk BSE setiap bulan boleh menyelamatkan nyawa anda!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment