Monday 11 July 2011

Karies Botol Susu


Sejenis karies rampan yang paling kerap berlaku pada bayi dan kanak-kanak kecil. Karies ini adalah satu keadaan yang sangat menyukarkan kepada pesakit kecil, ibubapa dan doktor pergigian.
Sejenis karies rampan yang paling kerap berlaku pada bayi dan kanak-kanak kecil. Karies ini adalah satu keadaan yang sangat menyukarkan kepada pesakit kecil, ibubapa dan doktor pergigian. Boleh juga berlaku pada bayi yang menyusu badan sekiranya penyusuan diberikan terlalu kerap secara tidak teratur.

Karies ini mudah berlaku pada bayi dan kanak-kanak yang minum susu yang tinggi kandungan gula atau jus dari botol. Keadaan lebih buruk jika bayi dibiarkan tidur dengan botol susu di dalam mulut. Ini menyebabkan susu atau jus bertakung di dalam mulut dan menyebabkan bakteria bertindak ke atas gula menghasilkan asid penyebab karies. Walaupun susu tidak dicampur gula, tetapi jika dibiarkan lama bertakung di dalam mulut maka percernaan awal akan menyebabkan susu bertukar kepada gula.Gigi yang paling kerap rosak adalah gigi atas depan diikuti dengan gigi belakang bawah, seterusnya atas. Gigi bawah depan paling akhir rosak disebabkan semasa penyusuan, gigi ini berada di bawah lidah dan kurang terdedah kepada susu/jus.



Cara-cara pencegahan:
1.Jangan campur gula atau madu didalam susu bayi.
2.Jangan berikan jus atau minuman manis dari botol.
3.Jangan biar bayi tidur dengan botol di dalam mulut.
4.Sekiranya bayi perlu menyusu sewaktu tidur, akhiri penyusuan dengan air kosong.
5.Mulakan menjaga kebersihan gigi dari pertumbuhan gigi pertama. Boleh dimulakan dengan mengelap permukaan gigi dengan tuala lembab. Setelah bayi tumbuh beberapa gigi, pemberusan boleh dijalankan tanpa ubat gigi atau dengan menggunakan ubat gigi tanpa fluorida terutamanya sebelum tidur. Lebih mudah jika menggunakan berus gigi khas yang disarung pada jari telunjuk. Penggunaan ubat gigi berfluorida pada bayi boleh menyebabkan keadaan fluorosis pada gigi kekal yang sedang membentuk.
6.Ajar bayi atau kanak-kanak kecil minum susu atau jus dari cawan.
7.Cuba hentikan pemberian susu dari botol selepas bayi berumur 12 bulan kerana bilangan gigi telah bertambah. Gunakan cawan.
8.Amalkan pemakanan sihat. Jangan ajar bayi atau kanak-kanak kecil makan makanan manis seperti gula-gula.


Karies botol susu pada peringkat awal akan kelihatan seperti tompok atau garisan putih berkapur pada permukaan gigi terutamanya gigi atas depan umumnya berdekatan gusi. Doktor pergigian boleh mengesan karies ini pada peringkat awal jadi jika ibubapa mendapati apa-apa perubahan pada warna gigi, bolehlah mendapatkan nasihat doktor pergigian. Pada peringkat awal langkah-langkah pencegahan seperti di atas boleh dilakukan.

Sekiranya berlanjutan dan lubang telah terbentuk, tampalan perlu dilakukan. Namun begitu jika kanak-kanak terlalu kecil ini sukar dilakukan kerana kanak-kanak tidak dapat bekerjasama. Ibubapa mungkin perlu membawa pesakit berjumpa pakar pergigian kanak-kanak.

Pada peringkat yang lebih teruk, kanak-kanak akan merasai kesakitan dan mungkin tidak mahu menyusu. Gigi pula mungkin patah dan kadang-kadang cuma tinggal akar yang tertanam di dalam gusi. Kerap kali bila sudah jadi begini, kanak-kanak akan mengalami bengkak gusi akibat bernanah. Umumnya pada peringkat begini cuma cabutan dapat dilakukan, kadang-kala di bawah anestetik am iaitu bius yang menyebabkan pesakit tidur.

Disebabkan pergigian kekal dipengaruhi oleh pergigian primer, adalah penting untuk mengelakkan keadaan ini.

No comments:

Post a Comment