Fungsi otak terjejas jika tidur bayi kerap terganggu
IBU bapa muda hilang antara 400 hingga 750 jam waktu tidur ketika anak berusia setahun ke bawah, tetapi apabila semakin membesar, pola tidur mereka lebih stabil.
Biasanya, semua bayi yang baru dilahirkan sering terjaga daripada tidur pada waktu malam. Ia sesuatu yang normal, tetapi menjelang usianya enam bulan, ada bayi yang boleh tidur lena sepanjang malam tetapi ada yang terjaga dan perlu ditidurkan semula.
Tidur bagi bayi adalah sebahagian penting dalam proses tumbesarannya. Tidur waktu malam sangat penting kepada bayi kerana mereka akan lebih riang dan tenang pada waktu pagi.
Jika terganggu walaupun sekejap atau secara berterusan dan bertambah pada setiap malam mungkin boleh menjejaskan fungsi otak. Oleh itu, sangat penting untuk memastikan persekitaran tidur yang kondusif supaya bayi mendapat kualiti tidur yang diperlukan.
Begitupun keperluan tidur antara seorang bayi dengan yang lain tidak sama. Panduan di bawah adalah secara umum keperluan tidur seseorang bayi dan jika mereka tidak dapat tidur secukupnya, anda dinasihatkan mendapatkan pandangan pakar.
Tidur bayi baru lahir hingga berusia tiga bulan.
Bayi dalam lingkungan usia ini memerlukan tidur antara 16 hingga 20 jam sehari dalam jangka masa antara satu setengah jam hingga lima atau enam jam setiap kali pada siang hari. Ketika ini, waktu makan dan tidurnya akan bersilang. Ada bayi yang tidur sepanjang malam apabila mereka berusia empat atau enam minggu tetapi itu bukan kebiasaannya.
Tiga hingga enam bulan.
Daripada usia tiga hingga 12 bulan ke atas, bayi akan tidur antara 14 hingga 15 jam secara keseluruhannya. Mereka cenderung untuk tidur antara enam hingga lapan jam pada waktu malam dan akan terjaga sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh waktu itu dan perlu ditenangkan, disusui sebelum dia tidur kembali.
Bayi akan tidur sekejap (nap) antara sejam hingga dua jam pada waktu pagi, tengah hari dan petang.
Enam hingga 12 bulan.
Kanak-kanak dalam usia ini selalunya tidur sekejap, iaitu dua kali dalam tempoh tiga hingga empat jam dan akan tidur untuk 11 jam pada waktu malam. Jika mereka tidur selama 12 jam pada waktu malam, adalah mencukupi mereka tidur sekejap untuk sejam ketika waktu pagi dan petang.
Satu hingga tiga tahun.
Selalunya mereka tidak lagi tidur sekejap pada waktu pagi. Waktu petang pula mereka juga akan tidur sekejap dan selalunya bertahan untuk tiga jam saja. Jumlah masa tidur mereka yang diperlukan ialah antara 10 hingga 13 jam tetapi faktor lain selalunya mengganggu kualiti masa tidur mereka seperti menggigau atau sakit gigi.
Tiga hingga 12 tahun
Pada usia ini tidur sekejap jarang dilakukan dan jangka masa tidur pada waktu malam juga menurun sehingga 12 jam untuk kanak-kanak pra sekolah manakala 10 jam untuk kanak-kanak pra remaja.
Setiap kanak-kanak berbeza. Justeru, untuk menentukan jumlah tidur yang cukup bagi seseorang kanak-kanak adalah sukar. Begitupun, secara umum kanak-kanak berusia antara satu hingga tiga tahun memerlukan sekitar satu hingga 13 jam tidur pada waktu malam dan mungkin tidur sekejap (nap) pada siang hari.
Kanak-kanak pra sekolah pula memerlukan antara 10 hingga 12 jam tidur pada waktu malam. Selalunya tidur pada waktu siang tidak diperlukan bermula usia lima tahun. Antara usia enam hingga sembilan tahun, kebanyakan kanak-kanak memerlukan 10 jam tidur pada waktu malam manakala yang meningkat remaja memerlukan sekitar sembilan jam.
Apabila orang dewasa tidak mendapat cukup tidur, biasanya mereka letih dan merengus (grumpy). Kanak-kanak juga boleh bersifat demikian tetapi mereka mungkin akan menjadi hiperaktif. Perhatikan, jika anak kelihatan gelisah, kurang fokus, tidak bertenaga, tidak sabar dan bersikap mempertahankan diri (defensive), dia mungkin memerlukan lebih tidur.
Anda juga perlu tahu, anda boleh membentuk tabiat tidur yang sihat untuk anak sejak dia masih kecil. Pembentukan tabiat tidur yang sihat bukanlah ukuran kemahiran keibubapaan tetapi ia lebih kepada situasi menang menang untuk kedua-dua pihak.
Bentuk tabiat tidur yang baik.
a) Lakukan aktiviti ketika siang hari.
Apabila bayi jaga, lakukan aktiviti menyanyi, bermain atau bercakap-cakap dengannya. Biasakan dirinya dengan kebisingan rumah yang normal misalnya bunyi orang memasak, bunyi televisyen atau bunyi penyedut hampagas. Stimulasi sebegini pada waktu siang hari membantu tidur yang lebih baik pada waktu malam.
b) Pantau tidur siang (nap) anak anda.
Tidur sekejap pada waktu siang penting tetapi jika tidur terlalu lama pada waktu siang akan mengganggu pola tidur anak anda pada waktu malam.
c) Ikut rutin waktu tidur yang konsisten.
Sebelum tidur, mandikan dia, belai, menyanyi dan bacakan buku untuknya. Lama kelamaan bayi anda akan mengaitkan semua aktiviti itu dengan tidur.
d) Tidurkan dia ketika mengantuk.
Walaupun dia belum tidur, tetapi sudah mulai mengantuk, bawa dia ke biliknya. Ia boleh membantu anak mengaitkan rasa mengantuk dengan tidur. Bagaimanapun, pastikan katilnya tidak bersepah dengan anak patung, bantal atau selimut kerana ia mungkin membuat dia lemas tanpa anda sedar.
e) Beri masa untuk dia bertenang.
Bayi kerap menggeliat dalam tidur mereka. Kadangkala ia menyebabkan kebisingan. Selain itu, dia mungkin merengus atau menangis sebelum bertemu posisi tidur yang selesa. Tunggu beberapa saat sebelum bertindak balas kerana kadangkala dia akan senyap dengan sendirinya.
Bagaimanapun, jika anda merasakan dia lapar atau terganggu dengan mimpi ngeri dan tangisannya tidak berhenti, bercakaplah dengannya secara tenang. Anda juga boleh membelai dan menepuk belakangnya. Dengan cara begitu, dia tahu anda ada di sisinya dan membantu untuk dia tidur.
f) Pertimbangkan untuk memberikannya puting.
Jika bayi anda sukar untuk tidur, puting mungkin boleh membantu. Malah, puting pada waktu tidur mengurangkan risiko sudden infant death syndrome (SIDS). Bagaimanapun, jika bayi menggunakan puting untuk membantunya tidur, dia mungkin akan menangis di tengah malam apabila puting terjatuh.
g) Pastikan malamnya sentiasa gelap.
Jika bayi perlu minum susu pada waktu malam, guna lampu yang suram cahaya. Suara anda juga harus perlahan. Ia membantu memberitahu bayi, masa itu adalah untuk tidur.
Bagaimana jika anak anda bukan bayi lagi?
Kadangkala sesetengah kanak-kanak tidak pernah belajar untuk tidur sendirian. Mereka selalunya tertidur di depan televisyen atau selepas didodoi ibu. Jika mahu tidur, mereka mahu ibu bapa tidur bersama-sama atau mereka mendesak untuk tidur bersama-sama di katil ibu bapa.
Sebenarnya berkongsi katil dengan anak adalah tabiat yang sukar dihentikan, tetapi akan tiba satu ketika anak perlu belajar untuk tidur dalam bilik sendiri.
Justeru, rutin waktu tidur boleh membantu kanak-kanak rasa lebih selesa apabila mereka belajar untuk tidur sendirian.
Ada sesetengah ibu bapa hanya menidurkan anak begitu saja. Baringkan di katil, tepuk sesaat dua, tutup lampu dan berlalu. Ia mungkin berkesan pada sesetengah ibu bapa tetapi tidak pada sebahagian yang lain.
Justeru, bagi sebahagian ibu bapa pula, rutin waktu tidur anak mengambil masa 30 minit. Ia termasuk membantu mereka menggosok gigi, membacakan buku atau bercakap-cakap dengannya mengenai aktiviti sehariannya. Cuba kekalkan masa itu setiap hari kerana kebiasaan akan membawa keselesaan pada anak.
Adakalanya anak-anak tidak mahu lena jika tidak dapat memeluk bantal busuk mereka atau selimut kesayangannya. Beri, jika itu yang mereka mahu. Muzik yang perlahan juga mungkin boleh membantu dia tidur. Jika dia minum susu, pastikan giginya digosok dahulu sebelum tidur dan jangan benarkan dia tidur dengan botol susu terlekat di mulut.
Jika anak tidak mahu berada dalam bilik tidurnya, anda mungkin terpaksa menutup pintu atau meletakkan penghadang. Anda mungkin terpaksa mengunci pintu jika dia masih tidak mahu tidur dan berkeliaran di dalam rumah waktu anda tidur. Kanak-kanak di bawah usia lima tahun tidak faham bahaya api, air panas dan pisau. Justeru, peranan anda sangat besar untuk memastikan mereka tahu.
Jika anak anda penakut, jangan tutup pintu bilik, sebaliknya berjanji dengannya untuk menjenguknya setiap 15 minit. Jika dia masih tidak tidur, pujuk dia tidur dan puji dia kerana diam dan cuba untuk tidur. Selalunya dia akan tertidur.
No comments:
Post a Comment