Friday, 24 June 2011

Bila badan si kecil panas

Bayi anda merengek lagi. Kali ini bukan kerana lampinnya basah tetapi kerana badannya makin panas. Anda cuba membasahkan kain dan mengelap ubun-ubunnya. Namun, bayi terus merengek.
Tiada jalan lain, anda perlu berjumpa doktor. Nampak mudah tetapi sebenarnya anda juga perlu mengetahui apa yang berlaku kepada bayi. Ikuti panduan di bawah.
Deman
Umumnya, demam dilihat sebagai cara tubuh mempertahankan diri daripada serangan penyakit yang diakibatkan oleh virus, bakteria atau fungi. Tidak kurang pula, demam dikaitkan dengan perubahan yang berlaku pada tubuh seperti pertumbuhan gigi.
Oleh itu, demam panas disifatkan sebagai sebahagian daripada kehidupan. Biarpun demam panas pada kanak-kanak boleh dirawat tetapi ia boleh menyebabkan masalah tertentu jika tidak dirawat sebaik mungkin. Kebanyakan penyakit yang mengancam kesihatan bayi bermula dengan demam. Demam panas boleh menyebabkan kekejangan tubuh bayi atau kanak-kanak dan hal ini pasti mencemaskan ibu bapa.


Suhu
Apa yang sepatutnya anda lakukan sekiranya anak mengidap demam? Paling awal sebelum anda berjumpa dengan doktor, ukur suhu badan bayi dengan menggunakan termometer. Lihat sama ada suhu badan bayi anda naik melebihi suhu normal (sekitar 37°C). Sekiranya suhu badan mencapai 41°C, adalah lebih baik sekiranya anda membawa bayi berjumpa doktor.
Bagaimana pula caranya untuk menggunakan termometer?
Sebaiknya anda mengambil suhunya dengan meletakkan termometer di ketiaknya. Pastikan anak tenang, setengah jam sebelum anda mengambil bacaan suhu. Kerana bayi yang menangis dan meronta akan menyebabkan suhunya meningkat lebih tinggi.
Pakaian nipis
Seterusnya pakaikan pakaian yang nipis. Pakaian yang nipis membenarkan pelepasan haba tubuh ke persekitaran. Jika perlu gunakan kipas angin atau pendingin udara tetapi jangan halakan ke tubuh bayi. Memandangkan demam menyebabkan kehilangan air dalam badan melalui kulit, anda digalakkan memberi
anak minum air yang secukupnya secara beransur-ansur. Rendahkan suhu badannya dengan menuam kepalanya menggunakan kain basah.
Elak bayi tidur sendirian
Pastikan anda atau suami bergilir-gilir menjaganya untuk memastikan suhu badannya stabil. Biasanya suhu badan anak akan meningkat ketika dia tidur. Jadi, pastikan dahi dan tubuhnya dilap dengan kain basah hinggalah suhu badannya pulih. Kelalaian anda mungkin boleh mengundang akibat buruk jika dia mengalami kekejangan tanpa anda sedari!
Kejang
Demam panas boleh menyebabkan bayi mengalami kekejangan. Ini biasa berlaku pada bayi yang berusia antara enam bulan hingga lima tahun. Usah cemas, anda sendiri boleh menangani masalah ini di rumah (melainkan keadaannya sukar dikawal).
Tanda kejang
*Tubuh kaku, rahang dan tangan kekejangan dan riak wajah berkedut.
*Bola mata berputar ke belakang.
* Keluar air liur.
*Pengsan (kadang-kadang)
Apa yang perlu anda lakukan?
*Baringkan tubuh anak di atas permukaan yang lembut, tetapi jangan menghalang pergerakannya.
*Jika anak muntah, tundukkan kepalanya ke sisi untuk mengelakkannya daripada tersedak.
*Biarkan mulut anak bebas dari menggigit sesuatu.
*Turunkan suhu badan anak dengan mengelap menggunakan kain basah atau mandikannya.
*Longgarkan pakaian anak.
*Jika nafas berhenti, berikan bantuan pernafasan.
*Setelah kekejangan berakhir, berikan anak minum air sejuk (bukan berais)
Peringatan: Jika sekiranya kejadian tersebut berterusan atau anda tidak yakin dengan kesihatannya, segera bertemu doktor untuk rawatan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment